Friday, July 29, 2011

Fadilat Solat Tarawikh adalah Palsu - Mufti Terengganu



JABATAN MUFTI NEGERI TERENGGANU telah membongkar kepalsuan hadis tentang kelebihan atau fadilat solat tarawikh yang bermula sejak malam pertama hingga malam terakhir bulan Ramadhan. Di sini saya paparkan artikel daripada Jabatan mufti tersebut.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini. ·

Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman. ·

Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S. · Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.. · Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim) Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4). Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah.. Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari) Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir) Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Untuk info lanjut sila klik Jabatan Mufti Negeri Terengganu

INFO TAMBAHAN:
Suatu masa dahulu, penyebaran hadis tentang kelebihan bersolat tarawikh amat berleluasa. Dalam media baik cetak mahupun elektronik, di masjid dan surau, serta menerusi risalah-risalah
waktu imsak. Malah, di sesetengah tempat, imam atau bilal akan mengumumkan pahala yang bakal diraih pada malam tersebut sebelum memulakan solat tarawikh. Hari ini, ia masih lagi disebarluaskan dan lagi hebat terdapat pihak yang menyebarkannya dengan menggunakan kecanggihan teknologi, lihat SINI.

Sebenarnya, sudah agak ramai ulama-ulama tanah air yang cuba membetulkan salah faham orang ramai terhadap solat tarawikh dengan membongkarkan kepalsuan hadis ini. Antaranya ialah pensyarah saya sendiri, iaitu Prof Madya Dr Radzi Othman, seorang ilmuan hadis yang menyumbang ilmu di USM. Maulana Asri Yusoff, seorang ilmuan hadis dari Kelantan, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, juga seorang ilmuan hadis yang berasal dari Kelantan dan pernah menjadi pesnyarah pengajian islam di beberapa buah universiti tempatan. Tapi sayang, suara mereka kurang didengari disebabkan masyarakat sudah sebegitu sebati dengan kepercayaan klasik zaman berzaman.

Dalam Majalah al-Islam , terbitan Ogos 2011 turut membicarakan isu ini. Pada halaman 18 hingga 20, Timbalan Dekan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Fauzi Amin, turut memperkatakan perihal hadis-hadis palsu termasuklah hadis tentang fadilat solat tarawikh ini. Apa yang pasti beliau meminta agar hadis palsu ini disekat daripada disebarkan.
Mengikut ulama-ulama hadis, salah satu tanda-tanda kepalsuan sesebuah hadis ialah menjanjikan ganjaran pahala yang terlalu besar bagi mereka yang menunaikan ibadat tertentu( sila rujuk Dr Abdul Hayei Abd Sukor , Islam & Manusia 1001 Kemusykilan, M/S : 246). Dan syukur kepada Allah, kerana Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ( klik UZAR) turut memperkatakan isu ini,

Begitu jugalah tentang hadis tentang fadilat solat tarawikh. Lihat sahaja ganjaran pahala kepada orang-orang yang bersolat tarawikh pada malam ke -17, iaitu ganjaran pahalan sebanyak pahala para Nabi-Nabi. Amat tidak munasabah dengan hanya pergi bersolat tarawikh pada tarikh malam 17 Ramadhan, maka kita akan memperolehi pahala yang menyamai pahala para Nabi yang bermula dari Adam A.S hinggalah Muhammad S.A.W. Amat mustahil kita akan memperolehi pahala yang mengatasi pahala Nabi Muhammad S.A.W,( sebab pahala Nabi-Nabi bererti gabungan atau keseluruhan pahala semua Nabi yang tidak terhitung jumlahnya. 25 orang itu yang perlu diketahui sahaja )

Mungkin ada yang berhujah, apa mustahilnya sebab Allah Maha Pemurah. Memang betul Allah itu Maha Pemurah. Tapi , dalam memperkatakan isu agama kita hendaklah berhujah bersandarkan dalil-dalil syarak. Status kepalsuan hadis ini juga dinilai dari segi sanadnya dengan meneliti kewibawaan perawi yang meriwayatkannya. Betapa palsunya hadis ini hinggakan beberapa tokoh agama tidak dapat memberikan penjelasan tentang sumber hadis ini diambil. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita sebagai orang awam sepatutnya akur dengan pendapat dan keputusan mereka. Mereka berkata berdasarkan ilmu termasuklah menguasai ilmu termasuklah ilmu jarh wa ta'dil.

Andainya masih ada yang ingin beralasan, ganjaran pahala sebegini adalah tidak mustahil sebab Allah itu Maha Pemurah, maka cuba fikirkan pula situasi sebegini. Seorang anak gadis telah mengandung kerana terlanjur. Tapi untuk menyelamatkan diri, dia telah berhujah. Katanya, dia mengandung bukan kerana terlanjur tapi kerana Allah inginkan dia mengandung sebagaimana Allah mengkehendaki Siti Maryam mengandung tanpa mengalami proses persetubuhan. Pertanyaan saya, bolehkah kita terima alasan anak gadis itu dengan alasan Allah Maha Berkuasa? Dan, andainya kita tidak mempercayai alasan anak gadis itu, adakah kita dianggap menafikan kekuasaan Allah?

Hujah kedua daripada pihak yang ingin mewajarkan hadis-hadis palsu termasuklah hadis ini, ialah walaupun ada ulama hadis kata ia palsu tapi masih ada sesetengah ulama hadis yang mengatakan ia sebagai sahih. Itu memang betul sebab tidak semua ulama bersepakat dalam semua perkara. Mereka pasti sahaja berbantah-bantah dalam perkara-perkara tertentu atau tentang status hadis tertentu. itu ijtihad mereka berdasarkan penguasaan ilmu yang mereka miliki. Tapi, kita perlu ambil kira kewibawaan ulama yang terlibat serta suara majoriti ulama-ulama dalam isu tersebut. Pendapat jumhur atau majoriti ulama tentu sahaja lebih selamat untuk digunapakai. Kalau masih berdegil ingin menyebarkan hadis palsu ini dengan alasan ada ulama tertentu mengatakan ia sebagai sahih, maka fikirkan pula situasi sebegini. Wajarkah kita sembelih seekor anjing untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Sebabnya ada ulama dari Mazhab Maliki, seperti Shuhnun berpendapat anjing bukannya najis dan boleh dimakan dagingnya. Tentu sekali kita menolak pandangan shuhunun sebab ia bercanggah dengan pandangan Jumhur ulama yang mengharamkan anjing. Kembali kepada status hadis kelebihan solat tarawikh, ternyata ia tidak dimuatkan dalam kitab-kitab induk hadis seperti Sunan Sittah, iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Nasaie, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi Sunan Ibnu Majah. Sedangkan semua tahu, ini adalah kitab-kitab hadis yang muktabar dan kewibawaan penulis kitab ini diperakui oleh seluruh ulama sejak zaman berzaman.

Pernah dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan dalam kuliahnya(saya perolehi maklumat ini menerusi mp3)menerangkn punca kemunculan hadis-hadis palsu, Antara kandungan kuliah tersebut menyebut faktor orang-orang zaman dahulu perkenalkan fadilat itu dan fadilat ini dengan tujuan nak menggalakkan orang berbuat kebaikan. Tetapi kaedah ini tidak betul kerana berdusta atas nama Nabi SAW.
Akhir sekali, sebagai orang awam, kita seharusnya akur dengan pandangan para ulama termasuklah para Mufti. Moga-moga ramadhan tahun ini akan menjadikan kita akrab dengan-Nya dan lebih mesra dengan kitab-Nya. -bicaradiariku-

No comments:

Post a Comment